Bertolak ke Jeddah 25/10/2010 melalui penerbangan KT55. Hanya aku dan ayah dalam pemergian ke Makkah kali ini. Maya dan mama akan menyusul kemudian kerana hanya kami berdua sahaja yang mendapat penempatan muassasah. Setibanya didalam Kompleks TH Kelana Jaya kami disambut mesra oleh seorang adik petugas TH yang memberikan layanan istimewa kerana aku mengiringi ayah yang memerlukan bantuan - ayah perlu ditolak dengan kerusi roda.
Bas-bas lain yang mengangkut jemaah haji KT55 - lokasi sempadan pagar keselamatan KLIA
Segala pemeriksaan baggasi dan dokumen perjalanan dilakukan di Kompleks TH Kelana Jaya dan kami menaiki konvoi bas 13 buah diiringi escort polis ke KLIA terus ke pesawat terbang 2 tingkat dan aku ditempatkan betul dibelakang bilik kapten. Ayah pula aku minta budibicara petugas agar duduk sahaja dekat tangga masuk di bawah kerana tangga menaiki business class agak curam.Penerbangan diserikan dengan tontonan video tatacara manasik Haji dan Umrah... dan makan..makan..dan makan lagi.
Pendaratan di Jeddah amat lancar dan terus sahaja kami mengerjakan solat jamak takhir dikaki lima ruang menunggu lapangan terbang Jeddah.
Tiba masa untuk pengurusan imigresyen aku menghadapi masalah! Aku terpaksa berdiri sekian lama untuk menunggu kelulusan komputer. Pegawai berbangsa arab dengan muka yang bengis bertanyakan kepadaku tak kurang dalam 3 bahasa mengenai visa Amerika yang tertera dalam passport antarabangsaku dan juga kenapa aku sering keluar masuk ke Indonesia dan Singapura. Cap kesemua jariku di ambil secara elektronik dan tak seperti orang lain yang hanya diminta menanggalkan kaca mata, aku diarahkan juga untuk menanggalkan kopiah semasa sesi mengambil gambar pengenalan. Apa mereka sangka aku ini terlibat dengan angkara luar yang mengancam keselamatan negara kah?
Akhirnya satu persatu kaunter imigresyen ditutup dan hanya tinggal aku keseorangan seorang diri masih berdiri menunggu dan juga telah masuk waktu solat maghrib. Aku dengan hatin yang hiba atas ujian ini pun dengan berat hati menunaikan solat bersama-sama pegawai-pegawai imigresen arab. Panjang doa yang aku panjatkan agar semuanya selamat. Tak sampai 20 minit (yang mana tempoh tersebut ku rasakan teramat panjang) akhirnya aku dipanggil ke kaunter. Alhamdulillah..baru lepas dan nama aku disahkan bebas dari sebarang rekod buruk. Jemaah lain kesemuanya telah siap menunggu bas untuk ke Madinah. Aku hanya sempat keluar menolak trolley bag kami ke tempat scanning dan bergegas untuk ke kawasan rehat sebelum menaiki bas yang akan membawa kami ke Madinah.
Bas yang dinaiki penulis untuk ke Madinah - ianya tidak laju, tidak selesa (kerusinya tidak boleh dilaraskan, ruang dalaman yang sempit) dipandu bukan oleh penduduk tempatan. Kebarangkalian untuk tersesat jalan dan terlepas check point yang patut dilalui adalah amat tinggi! Hanya doa yang boleh dipanjatkan agar perjalanan kami selamat ke destinasi.
Segalanya bermula di sini!